Thursday, January 27, 2011

Interlok : bukti kerajaan prihatin pandangan rakyat – Syed Ali

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC)  menyambut baik langkah kerajaan meneruskan penggunaan Interlok sebagai novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam subjek bahasa Malaysia bagi pelajar tingkatan lima.

Pengerusinya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan ketegasan  itu membuktikan kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

“Walaupun beberapa pindaan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif oleh segelintir masyarakat India, keputusan itu bermakna kerajaan menerima teguran dan pandangan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan tuntutan segelintir masyarakat India yang sebelum ini dikatakan membakar novel berkenaan bukan satu kemenangan yang perlu dipolitikkan.

“Isu Interlok sudah selesai, tidak timbul mereka (masyarakat India) menang dalam tuntutan tersebut, tetapi lebih merupakan satu pengajaran dan teladan untuk masa akan datang,” ujarnya.

Dengan keputusan itu, beliau berharap segelintir masyarakat India tidak lagi menjadikan Interlok sebagai bahan polemik untuk kepentingan politik.

Katanya, Interlok adalah titipan sejarah dan rakaman peristiwa tanahair dan diharapkan akan memberi banyak manfaat kepada para pelajar di negara ini.

Syed Ali bagaimanapun tidak menolak kemungkinan penulis Interlok, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein masih ‘terluka’ dengan sikap biadap pihak tertentu yang membakar gambar beliau dan novel tersebut.

“Dalam apa jua keadaan pun, kita seharusnya bersimpati dengan nasib yang diterima oleh seorang Sastrawan Negara dan berharap beliau menerima keputusan kerajaan itu dengan berlapang dada,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan memutuskan Interlok akan tetap diteruskan sebagai novel pelajar tingkatan lima dengan dilakukan perubahan pada bahagian sensitif kepada masyarakat India.

Keputusan itu hasil perbincangan Muhyiddin dengan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel dan timbalannya, Datuk S. Subramaniam, petang semalam.

Monday, January 24, 2011

YPC sambut baik cadangan bina Sekolah Berasrama Penuh Felda

CADANGAN Kementerian Pelajaran menubuhkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Felda di kawasan tanah-tanah rancangan di negara ini dilihat sebagai wajar untuk meningkatkan pembangunan ilmu pendidikan terutama di kawasan luar bandar.

Pengerusi Yayayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, cadangan tersebut juga jika dilaksanakan kelak mampu menampung masalah penempatan pelajar terutama di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Beliau berkata, peratusan pelajar cemerlang seperti dalam peperiksaan UPS dan PMR yang meningkat setiap tahun menyaksikan pertambahan bilangan pelajar yang berpotensi.

“Pelajar cemerlang terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, cadangan kementerian untuk menubuhkan SBP di kawasan Felda secara tidak langsung akan meningkatkan lagi taraf hidup peneroka terutama generasi kedua.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Labis semalam bahawa kementeriannya akan menubuhkan SBP dengan kerjasama Felda.

Dr. Mohd. Puad menjelaskan penubuhan SBP itu perlu bagi menampung pertambahan jumlah pelajar malah akan dilihat bakal memberi faedah khususnya kepada anak-anak peneroka.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Syed Ali berkata terserah kepada pihak Felda untuk mengakji samada ianya perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya melihat keperluan dan kepentingan para pelajar terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan keutamaan sejajar dengan pembangunan negara,” ujarnya.

Kementerian Pelajaran hargai peranan YPC


KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia amat menghargai peranan dan sumbangan yang telah dimainkan oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) sebagai badan sokongan memartabatkan pembangunan ilmu di negara ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, YPC telah berjaya memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah khususnya di Parlimen Cheras dan Wilayah Persekutuan amanya.
“Pihak Kementerian amat menghargai peranan serta tanggungjawab yang telah dimainkan oleh YPC sejak lebih 10 tahun lalu dan ini merupakan usaha yang perlu dicontohi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap komitmen dan kesungguhan YPC sebagai penggerak pembangunan pendidikan di sekolah-sekolah angkatnya akan diberikan sokongan oleh warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap mewakili Ketua Pengarah kementerian Pelajaran Malaysia di majlis Anugerah Cemerlang PMR 2010, anjuran YPC di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.

Turut hadir di majlis tersebut Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Ahli Lembaga YPC, Tuan Haji Omar Khalid, Ketua-Ketua UMNO Empat Peringkat  Bahagian Cheras, warga pendidik dan ibu bapa.

Sebelum itu, Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan anugerah pelajar cemerlang merupakan aktiviti tahunan yang diadakan oleh YPC bagi menghargai kejayaan cemerlang dalam pelbagai peringkat peperiksaan.

“YPC mengambil inisiatif mewujudkan anugerah tersebut sebagai perangsang kepada para pelajar untuk terus menempa kejayaan cemerlang dan berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.

Beliau juga mengingatan para pelajar supaya sentiasa menghargai pengorbanan dan sumbangan ibu bapa dan warga pendidik kerana mendoakana kejayaan mereka.

Pada majlis itu, seramai 260 pelajar sekolah-sekolah angkat YPC telah mencapai keputusan semua A dalam PMR 2010 berbanding 252 pada tahun 2090.

Pelajar yang mendapat 9A menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang, hadiah iringan seperti buku motivasi dan sijil penghargaan.

Manakala pelajar 8A dan 7A menerima wang tunai RM150 serta hadiah iringan.

Manakala empat sekolah naungan YPC terpilih menerima anugerah cemerlang berdasarkan jumlah peratusan pelajar yang mencapai keputusan A dalam semua subjek.

Kategori sekolah kawalan, tempat pertama dimenangi oleh SMK Seri Bintang Selatan dan kedua, SMK Seri Bintang Utara.

Kategori sekolah bukan kawalan pula, tempat pertama SMK (P) Pudu dan kedua, SMK Seri Saujana.

ANUGERAH CEMERLANG UPSR 2010


Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang UPSR 2010 pada 15 November 2010 (Isnin) jam 11.00 pagi bertempat di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur.


 Ini adalah kali kesepuluh berturut-turut majlis ini di adakan ( sejak UPSR 2001 ) bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek dan untuk dijadikan contoh ‘role model’ kepada pelajar-pelajar lain supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Y.Bhg Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail. Turut hadir ialah Pengerusi YPC Y.Bhg Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Y.Bhg Puan Hajah Nik Ramas Binti Nik Wan yang mewakili Pengarah Pelajaran.




Seramai 225 pelajar daripada lapan belas (18) Sekolah Kebangsaan di bawah naungan YPC telah mencapai keputusan semua ‘A’ dalam UPSR 2010 berbanding 215 pelajar pada UPSR 2009. Pelajar 5A menerima wang tunai RM 50.00, beserta hadiah iringan dan sijil penghargaan.




Empat (4) sekolah bernaung di bawah YPC terpilih untuk menerima anugerah cemerlang berdasarkan jumlah peratus pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek seperti berikut :

KATEGORI SEKOLAH KAWALAN

  • PERTAMA – SK SERI BINTANG UTARA, 33.14% (58 pelajar), (HADIAH RM 1,000.00 dan sijil penghargaan).
  • KEDUA      - SK SERI BINTANG SELATAN 29.07% (50 pelajar), (HADIAH RM 750.00 dan sijil penghargaan).

KATEGORI SEKOLAH BUKAN KAWALAN

  • PERTAMA – SK (P) PUDU 2, 28.57% (6 pelajar), (HADIAH RM 1,000.00 dan sijil penghargaan).
  • KEDUA      - SK (P) PUDU 1, 23.08% (3 pelajar), (HADIAH RM 750.00 dan sijil penghargaan)

TANGANI SEGERA ISU SOSIAL - ROSMAH


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Masyarakat diingatkan agar bertindak segera menangani gejala sosial yang mendukacitakan dewasa ini kerana ia akan merosakkan imej negara dan rakyat yang selama ini dianggap amat prihatin, pemurah dan penyayang.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana gejala sosial yang meruncing boleh memberikan isyarat yang tidak tepat mengenai negara. Katanya, ia juga boleh mencerminkan sikap tidak peka masyarakat khususnya dalam menangani isu-isu seperti penderaan kanak-kanak, memperkosa kanak-kanak, pembunuhan kejam, mempergunakan wanita bagi tujuan penyeludupan dadah dan pembuangan bayi.


Justeru beliau meminta supaya masyarakat terutama ibu bapa dan penjaga meningkatkan pemantauan dan kawalan ke atas segala kegiatan anak-anak remaja mereka. "Sebagai seorang ibu, apa yang amat memilukan saya ialah berkenaan pembuangan bayi yang tidak berdosa yang semakin berleluasa. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam tekun menjalani ibadah puasa serta mengejar ganjaran pahala berganda di bulan Ramadan ini.

"Kejadian ini jelas menunjukkan sikap tidak bertamadun sesetengah golongan masyarakat kita yang zalim sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk dan hina tersebut. "Mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini, ibu bapa hendaklah memberi penekanan akan aspek keagamaan kepada anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang bakal menjurus ke arah gejala yang semakin menular sejak akhir-akhir ini," katanya.




 Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri 2010 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di sini hari ini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Pada majlis tersebut seramai 444 pelajar termasuk 85 pelajar bukan Islam daripada 36 sekolah angkat YPC yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin serta anak yatim menerima sumbangan. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang dan beg cenderamata mengandungi sejadah, kain dan biskut raya.


 Rosmah berkata, ibu bapa dan penjaga juga perlu mendedahkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai kerohanian serta kesedaran moral yang dituntut oleh agama. Ini kata beliau, mampu membantu untuk membimbing anak-anak remaja daripada terjerumus ke kancah gejala sosial yang semakin meruncing ketika ini.

Sementara itu Syed Ali berkata, selain menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, yayasan tersebut turut melaksanakan program dan aktiviti motivasi dan kecemerlangan untuk pelajar di sekolah-sekolah angkat.

Sunday, January 23, 2011

TPM RASMI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE–10 YPC

 

Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) meraikan majlis sambutan ulang tahun yang ke-10 penubuhannya, 21 Julai 2010 (Rabu) pada pukul 8 malam bertempat di Aras 3, Grand Ball Room, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan perasmiannya oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Hadir sama isteri beliau, Yang Berbahagia Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Seramai kira-kira 1500 orang tetamu jemputan termasuk para pelajar dan guru serta warga pendidik yang mewakili 36 buah sekolah-sekolah angkat YPC yang hadir di majlis tersebut.

 Turut hadir pegawai-pegawai pelbagai agensi kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat, mantan pengetua dan guru-guru besar sekolah angkat YPC,Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Cheras dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.

Bersempena dengan majlis tersebut, Tan Sri Muhyiddin telah menyampaikan Anugerah Guru Bestari 2010 kepada 36 guru-guru yang terpilih dan mereka bakal menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM500.00, sebuah komputer riba, telefon bimbit, sijil serta hadiah iringan.


Anugerah Guru Bestari telah dimulakan sejak tahun 2001 yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merupakan pengikirafan berprestij YPC terhadap sumbangan, pengorbanan dan kegigihan warga pendidik dalam usaha membentuk generasi pelajar berilmu dan berwawasan.


Selain Anugerah Guru Bestari, pada malam itu juga buat julung-julung kalinya YPC memperkenalkan Anugerah Kepimpinan Mahasiswa.

Seramai 12 orang mahasiswa akan menerima sumbangan wang tunai RM1,000.00, sijil dan hadiah iringan setiap seorang.


YPC juga turut memperkenalkan Anugerah Khas Kecemerlangan Mahasiswa kepada seorang penerima yang menerima sumbangan RM1,000.00, sijil dan hadiah iringan.

Buat pertama kalinya juga YPC turut mengadakan Anugerah Kepimpinan Dinamik yang membabitkan dua orang guru yang mewakili dua buah sekolah rendah dan menengah. Mereka juga menerima hadiah wang tunai, sijil dan hadiah iringan.