Sunday, October 23, 2011

Isu Aziz Bari: bukan disekat bersuara, tetapi kenyataan yang mencerca raja Melayu - Syed Ali

TIDAK timbul isu kebebasan intekletual dan bersuara Prof. Abdul Aziz Baru disekat, tetapi kenyataan beliau sebelum ini memberi tafsiran satu cercaan kepada institusi raja-raja Melayu, kata Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Menurut beliau, sebagai seorang pensyarah di IPTA yang pakar dalam bidang undang-undang, Aziz sepatutnya lebih arif untuk menilai had sempadan kewajaran seseorang itu mengkritik pihak istana.


"Apabila Aziz secara terbuka menegur dan mengkritrik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ekoran isu serbuah gereja di Damansara, beliau dilihat cuba menghalang titah baginda," tegasnya.


Persepsi itu jelas beliau, bukan bermakna kebebasan bersuara di bawah Akta  Hasutan telah dicabuli dan Aziz dinafikan haknya untuk bersuara.


"Cuma kesilapannya teguran itu dibuat secara terbuka yang memungkinkan memberi tafiran kepada umum bahawa tindakan Sultan Selangor itu kurang bijak, ini satu cubaan mencerca kemulian seorang raja," ujarnya.


Masalahnya kata beliau, Aziz menggunakan saluran portal berita pro-pembangkang, malaysiakini.com untuk mengkritik titah Sultan Selangor.


"Mengapa guna laman web anti kerajaan ? Ini yang membuatkan rakyat beranggapan Aziz kemungkinan ada niat yang tidak ikhlas  atau barangkali didalangi pihak tertentu," jelas beliau lagi.


Syed Ali berkata, isu Aziz tidak seharusnya dilihat daripada sudut intelek semata-mata tetapi lebih kepada batasan nilai moral dan etika budaya Melayu.


"Memang dunia intelek harus disuburkan tetapi dalam masa yang sama nilai-nilai budaya dan adat resam Melayu juga hendaklah dipertahan dan dimuliakan," tegasnya.


Bagaimanapun jelas beliau, tidak menjadi satu kesilapan apabila seseorang rakyat memberikan teguran jika ia dibuat secara berhemah dan menerusi saluran yang betul.


Mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa penggantungan Aziz kerana tekanan pihak tertentu khususnya parti pemerintah, Syed Ali menyifatkan sebagai  tuduhan tidak berasas.


"Memang ada suara sumbang mendakwa UMNO terbabit dalam isu ini, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sengaja dilakukan pihak tertentu untuk mengaitkannya dengan parti pemerintah," tegasnya.


Menurut beliau lagi, pihak pentadbiran UIAM mempunyai kredibiliti dan alasannya tersendiri untuk menggantung tugas Aziz, belum lagi dikenakan tindakan disiplin atau dibuang daripada universiti tersebut.


"Menjadi amalan biasa, digantung tugas bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan," katanya.


Mengulas tunjuk perasaan oleh  pelajar UIAM yang mempertahankan Aziz, Syed Ali berkata Aziz sepatutnya menghalang supaya tidak berlaku.


"Sebaliknya ia seperti satu medan untuk melepas geram dan melemparkan tohmohan kepada pihak kerajaan," tegasnya.


"Ia hanya memburukkan keadaan dan sebagai orang yang tahu undang-undang, Aziz sepatutnya lebih memahami implikasi disebalik tindakan tersebut.