Wednesday, July 27, 2011

400 PELAJAR SEKOLAH PARLIMEN CHERAS TERIMA KOMPUTER RIBA 1 MALAYSIA

   Selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara bagi mencapai sasaran penembusan jalur lebar pada kadar 50% menjelang akhir 2010 dan 75% menjelang akhir 2015, maka Parlimen Cheras telah diberi peruntukan sebanyak 400 unit komputer riba 1 Malaysia untuk diagihkan kepada para pelajar yang layak.

   Majlis Penyerahan Komputer Riba 1 Malaysia Parlimen Cheras telah disempurnakan oleh Datuk Wira Syed Ali Alhabshee , Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras merangkap Ketua UMNO Bahagian Cheras pada 28hb Julai 2011 jam 10.00 pagi di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras yang melibatkan 9 buah sekolah iaitu SMK Puterijaya, SMK Miharja, SMK Seri Mutiara, SMK Seri Bintang Utara, SMK Convent Jalan Peel, SMK (P) Pudu, SMK Dato' Onn, SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Yaakob Latif.

    Para pelajar yang layak telah dikenalpasti oleh sekolah masing-masing dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan dan Pejabat Pendidikan Daerah Pudu, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya ialah pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah dan ketiadaan langganan jalur lebar di rumah.

    Semasa berucap di majlis tersebut, Syed Ali Alhabshee menyeru kepada pelajar supaya tidak menyalahgunakan komputer riba khususnya dalam proses penerimaan maklumat ataupun penyebaran maklumat menerusi internet. Para pelajar harus pandai menilai baik dan buruk sesuatu maklumat dan ibu bapa juga perlu memantau penggunaan komputer riba dan internet, ujarnya lagi.

    Turut hadir dalam majlis yang dihadiri oleh 900 orang tetamu itu ialah Pengarah Wilayah Tengah SKMM, Encik Mohd Fadhullah Mohd Noor.