Wednesday, September 19, 2012

SEMINAR KECEMERLANGAN PELAJAR UPSR TAHUN 2012


Kecemerlangan para pelajar dan peningkatan prestasi akademik telah menjadi agenda penting bagi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC). Sehubungan itu, YPC telah menganjurkan Seminar Kecemerlangan UPSR 2012 dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu dengan memberi tumpuan kepada murid-murid sekolah angkat YPC sendiri untuk meningkatkan bilangan murid yang akan memperoleh ‘semua A’ dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan awam berkenaan. Melalui usaha ini diharapkan kualiti pendidikan dapat diteruskan dan kuantiti kecemerlangan pelajar dapat ditambah baik.


Rasionalnya member pendedahan kepada calon UPSR 2012 tentang teknik menjawab dengan cemerlang dengan dibantu oleh barisan guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.


Matlamat untuk meningkatkan prestasi dan peratus murid mendapat ‘semua A’ dalam setiap mata pelajaran yang diambil dalam UPSR 2012 bagi sekolah-sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras.



Objektif ialah perkongsian teknik menjawab oleh guru-guru yang berpengalaman untuk memaksimumkan pencapaian calon-calon UPSR 2012 serta membimbing dan membina keyakinan calon-calon peperiksaan awam untuk menghadapi UPSR 2012.

Wednesday, May 30, 2012

300 PELAJAR DI CHERAS DAPAT KOMPUTER


KUALA LUMPUR 28 Mei - Para pelajar dinasihatkan agar menggunakan komputer dan perkhidmatan jalur lebar sebaik-baiknya kerana ia akan memberi kesan negatif sekiranya disalah guna.

Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Wira Syed Ali bergambar bersama penerima komputer riba 1 Malaysia

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, gajet tersebut boleh menjadi 'racun' kepada pelajar jika mereka mengakses laman web yang tidak berfaedah.

"Komputer sebenarnya boleh menjadi 'ubat' kalau pelajar-pelajar memanfaatkannya sebagai gerbang ilmu untuk tujuan pembelajaran," katanya.

Penyampaian kepada penerima komputer riba 1 Malaysia

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Komputer Riba 1 Malaysia bagi Parlimen Cheras di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Tengah, Fadilah Mohd Nor.

Datuk Ahmad Maslan melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional Parlimen Cheras

Penyerahan komputer riba fasa kedua itu membabitkan 300 pelajar dari 12 buah sekolah menengah sekitar Cheras.

Monday, May 14, 2012

PERUTUSAN HARI GURU

SEMPENA Hari Guru yang dirayakan setiap 16 Mei, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada seluruh warga pendidik terutama di bawah naungan Sekolah-Sekolah Angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).

Alhamdulillah, sekali lagi tarikh 16 Mei diingati sebagai tanda menghargai dan mengenang titik peluh guru-guru di negara ini yang sentiasa berkorban untuk memastikan generasi hari ini dibekalkan dengan ilmu pengetahuan secukupnya sebagai persediaan untuk memenuhi agenda pembangunan negara di masa akan datang.

Walaupun pengorbanan dan sumbangan besar warga pendidik tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, tetapi percayalah komitmen dan jasa mereka akan sentiasa dikenang sehingga berzaman kerana ilmu yang mereka curahkan untuk anak bangsa merupakan amal bakti yang tinggi nilainya.

Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengingatkan warga pendidik semoga akan menjadikan tarikh 16 Mei sebagai tarikh yang telah dan akan menyuntik semangat untuk terus gigih menjana pembangunan ilmu pendidikan untuk anak bangsa.

Terima kasih dan selamat menyambut Hari Guru 16 Mei, 2012

DATUK WIRA SYED ALI ALHABSHEE
Pengerusi YPC

Tuesday, April 3, 2012

MAJLIS PENYERAHAN WIFI HOTSPOT PERCUMA OLEH REDTONE KEPADA KOLEJ YPC

4 April 2012 - Yayasan Pendidikan Cheras dengan kerjasama REDtone menganjurkan Majlis Penyerahan Wifi Hotspot Percuma kepada Kolej YPC yang dirasmikan oleh Y.B.Datuk M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.




Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Saudara Lau Bik Soon menyerahkan dokumen Wifi Hotspot percuma kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Y.Bhg Dato' Dr. Noel Robert sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Y.B Datuk M. Saravanan dan Pengerusi YPC, Y.Bhg Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.







Monday, April 2, 2012

MUKHRIZ INGATKAN PELAJAR SUPAYA KENANG JASA IBU BAPA & GURU

TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir mengingatkan para pelajar supaya sentiasa mengenang jasa serta  pengorbanan ibu bapa dan guru dalam menentukan kejayaan mereka.



Menurut beliau, tidak ada hadiah yang paling berharga buat ibu bapa dan guru-guru selain melihat pelajar berjaya dan memperolehi kecemerlangan dalam pepriksaan dan seterunya menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu, ingat dan hargailah segala jasa dan susah payah ibu bapa termasuk guru-guru yang telah banyak berkorban untuk melahirkan pelajar cemerlang disamping berusaha membentuk nilai-nilai mulia dalam kehidupan,” tegasnya.


Beliau juga turut menasihatkan pelajar yang telah mencapai kejayaan dalam pekerjaaan dan profesyen masing-masing supaya ‘kembali’ semula ke sekolah tempat mereka pernah belajar  dan berjumpa dengan guru yang mendidik mereka.
Dengan cara itu jelas beliau, kejayaan mereka akan menjadi model atau perangsang kepada pelajar lain untuk terus berjaya manakala guru-guru pula akan berasakan diri mereka sentiasa dihargai oleh bekas pelajar.
Beliau mengingatkan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2011 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di Dewan Utama Kolej  Teknologi YPC-iTWEB, Taman Maluri, Cheras,  30 Mac lalu.





Turut hadir Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Timbalan Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ismail Musa,  Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Haji Md. Nasir Ghani, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Datuk Haji Syed Mehdhar Syed Abdullah, Setiausaha UMNO Bahagian, Puan Hajah Zurainah Musa, Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Encik Anuar Haron dan kepemimpinan Empat Peringkat UMNO Bahagian Cheras.
Selain itu kata Mukhriz lagi, pembabitan pelbagai pihak dalam meningkatkan pembangunan pendidikan di negara ini seperti yang telah dibuktikan oleh YPC amat dihargai.
“Saya amat berbangga dengan komitmen dan kejayaan yang ditunjukkan oleh YPC dalam memajukan tahap pembangunan sektor pendidikan khususnya di kawasan Parlimen Cheras dan di Wilayah Persekutuan amnya,” kata beliau.
Sementara itu, Syed Ali dalam ucapannya menjelaskan sejak YPC dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 11 tahun lalu, yayasan telah berjaya melahirklan ramai pelajar cemerlang menerusi program sekolah-sekolah angkat.



“Malah YPC juga berbangga kerana berjaya mewujudkan Kolej Teknlogi YPC-iTWEB yangb bermula hanya dari deretan rumah kedai sehingga mempu memiliki bangunan baru empat tingkat dengan jumlah lebih 1,500 pelajar,” katanya.
Beliau memberitahu, jumlah pelajar cemerlang pada keputusan SPM 2011 amat membanggakan, iaitu seramai 137 orang, berbanding 100 pelajar pada tahun 2010.
Daripada jumlah 137 yang mendapat keputusan ‘Straight’ A, seramai 10 pelajar mencapai keputusan semua A+, iaitu enam pelajar dari SMK Seri Bintang Selatan, masing-masing dua pelajar SMK Seri Bintang Utara dan SMK Cheras.



Pelajar yang memperolehi kesemua A+ menerima RM500 seorang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium BSN, sijil penghargaan, buku motivasi, sekeping tiket ke Berjaya Times Square Thema Park, sekeping baucar KFC dan Tabung 1Malaysia.
Manakala pelajar Straight A yang lainnya turut menerima RM300 manakal 19 pelajar menerima anugerah khas  RM250 kerana hampir mencapai keputusan Straight A. Kesemua mereka turut menerima hadiah iringan yang sama.

Tuesday, March 20, 2012

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG SPM 2011

Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) akan mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2011 pada 30 Mac 2012 (Jumaat), jam 10.30 pagi bertempat di Dewan Tingkat 4, Kolej Teknologi YPC-iTWeb, No. 7, Jalan Jejaka Taman Maluri Kuala Lumpur. Program tersebut akan dirasmikan oleh Y.B. Dato' Mukhriz Bin Tun Dr. Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Seramai 138 orang pelajar akan menerima penghargaan daripada YPC yang terdiri daripada 12 buah Sekolah Angkat YPC. Berbanding pada tahun lepas, seramai 100 orang pelajar yang menerima penghargaan. Ini menunjukkan jumlah peningkatan yang menggalakkan bagi tahun ini.

SYABAS & TAHNIAH kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.

Thursday, February 16, 2012

Tim. Menteri Pelajaran rasmi seminar motivasi pelajar sekolah angkat YPC

PERJUANGAN dalam dunian pendidikan merupakan satu keutamaan bagi melahirkan generasi berilmu untuk masa depan negara, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr .  Haji Mohd. Puad Zarklashi.
Oleh itu katanya, pelajar-pelajar perlu memberikan perhatian sepenuhnya dalam pembelajaran termasuk kegiatan ko-kurikulum bagi menjamin masa depan mereka.
Beliau turut mengingatkan, kejayaan cemerlang dalam pelajaran yang diperolehi oleh para pelajar merupakan hadiah yang tidak ternilai untuk ibu bapa mereka.
“Ibu bapa sebenarnya amat berasa kecewa jika anak mereka gagal atau kurang cemerlang dalanm peperiksaan, tetapi kekecewaan itu mereka pendam di dalam hati,” ujarnya.
Oleh itu katanya, para pelajar harus menanam keyakinan di dalam diri untuk mencipta kejayaan cemerlang sebagai hadiah yang tidak ternilai kepada ibu bapa mereka.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Seminar Motivasi Pengurusan Pembelajaran Strategik Pelajar Tingkatan 5, anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Utusan Malaysia, di Kolej YPC, Taman Maluri, Cheras pagi ini.



Seramai 250 pelajar terpilih daripada 12 buah sekolah angkat YPC menghadiri seminar tersebut yang merupakan program kali ketiga dianjurkan oleh YPC.
Turun hadir di majluis tersebut Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Dr. Noel Robert, Timbalan Pengarah Pelajaran, PPD Pudu dan Bangsar, Tuan Haji Ismail Musa dan Panel Motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain.
Menurut Dr. Mohd. Puad lagi, program yang dilakukan oleh YPC merupakan usaha murni bagi membantu pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran terutama bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM.
“Ini merupakan program motivasi yang memberi banyak manfaat kepada para pelajar termasuk warga pendidik,” ujarnya.
Sebelum itu, Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan sasaran program pada kali ini ialah melibatkan para pelajar berprestasi sederhana yang bakal menduduki peperiksaaan SPM 2012.



Katanya, usaha ini dilakukan bagi membantu para pelajar membina keyakinan diri supaya mampu meningkatkan prestasi dalam pembelajaran.
“Seminar ini antara lain membantu para pelajar menguasai teknik kemahiran belajar, menguasai teknik memori, kemahiran pengursuan masa dan membina keyakinan diri,” katanya.


Syed Ali juga mengingatkan para pelajar supaya menjadikan ‘7 Amalan’ sebagai  panduan untuk mereka berjaya; iaitu sentiasa awal, menjaga hubungan baik dengan guru, sentiasa berpakaian kemas dan sopan, sanggup berubah, sentiasa memperbaiki diri dan pencapaian, cekal dan rajin serta sentiasa bermotivasi.

Monday, January 30, 2012

PELAJAR MANGSA KEBAKARAN DAPAT PERHATIAN YPC

23 Disember 2011 - Seorang pelajar dari SMK Seri Permaisuri, adik Muhamad Rizal dan keluarganya telah ditimpa musibah dimana rumah keluarga beliau telah terbakar pada 29 November lalu. Punca kebakaran adalah disebabkan oleh penagih dadah yang menjalankan aktiviti tidak bermoral disebuah unit kosong bersebelahan dengan rumah keluarga beliau di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras.


Akibat daripada kejadian tersebut, sepuluh unit rumah telah mengalami kerugian yang teruk termasuk rumah keluarga adik Muhamad Rizal dimana mereka tidak dapat menyelamatkan barang-barang keperluan, peralatan sekolah dan dokumen penting disebabkan api merebak dengan cepat.



Atas dasar keperihatinan, Yayasan Pendidikan Cheras telah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga pelajar tersebut. Sumbangan berupa pakaian sekolah dan barang-barang keperluan dapur telah disampaikan oleh Encik Mohd Ismail Hj Mohd Nor, Pegawai Khas kepada pengerusi YPC. Turut hadir ialah Puan Hasnah selaku Guru Penolong Kanan Sesi petang SMK Seri Permaisuri dan kakitangan YPC.


Walaupun ditimpa musibah, tetapi adik Muhamad Rizal telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A 2B dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ini merupakan kebanggaan beliau dan keluarganya untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Tuesday, January 24, 2012

YPC RAI 293 PELAJAR CEMERLANG PMR 2011

18 Januari 2012 – Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Biro Pendidikan Parlimen Cheras dam SMK Convent Jalan Peel mengadakan majlis anugerah cemerlang PMR 2011 dan program Juara Rakyat Parlimen Cheras pada 18 November 2011 bertempat di SMK Convent Jalan Peel.



Ini adalah kali kesebelas berturut-turut majlis anugerah cemerlang PMR diadakan (sejak tahun 2001) bertujuan untuk member pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan ‘A’  dalam semua matapelajaran seta dijadikan contoh atau ‘role model’ kepada pelajar-pelajar lain supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.



Program Juara Rakyat pula bertujuan untuk memberi informasi mengenai kesedaran kesihatan, kemahiran keibubapaan kepada masyarakat setempat menerusi ceramah dan pameran yang diadakan, disamping mengeratkan hubungan di antara masyarakat setempat dan pemimpin.


Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan ialah Y.B Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir ialah Pengerusi YPC iaitu Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Dato’ Haji Khairil bin Awang iaitu Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan.

Seramai 293 pelajar mencapai keputusan A dalam semua subjek diambil. Mereka terdiri daripada 11 sekolah menengah yang bernaung di bawah Sekolah Angkat Yayasan Pendidikan Cheras. Setiap pelajar cemerlang akan menerima hadiah berupa sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional yang bernilai RM150.00, sijil penghargaan, tiket percuma berjaya times square Theme Park, buku motivasi dan tabung 1Malaysia.


Empat (4) sekolah yang bernaung di bawah YPC terpilih untuk menerima anugerah cemerlang berdasarkan jumlah peratus pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek PMR seperti berikut :-

KATEGORI SEKOLAH KAWALAN

TEMPAT PERTAMA     – SMK SERI BINTANG SELATAN
                                        38.91% (100 PELAJAR)
                                         (Hadiah RM1,000.00 dan sijil penghargaan)

TEMPAT KEDUA          - SMK SERI BINTANG UTARA
                                       36.92% (96 PELAJAR)
                                       (Hadiah RM750.00 dan sijil penghargaan)




KATEGORI SEKOLAH BUKAN KAWALAN

TEMPAT PERTAMA     – SMK PUTERIJAYA
                                        12.77% (12 PELAJAR)
                                         (Hadiah RM1,000.00 dan sijil penghargaan)

TEMPAT KEDUA          - SMK CONVENT JALAN PEEL
                                       10.04% (23 PELAJAR)
                                       (Hadiah RM750.00 dan sijil penghargaan)