Tuesday, March 1, 2011

TPM RASMI KOLEJ BARU YPC-iTWEB

TIMBALAN Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia akan merasmikan kolej baru YPC-iTWEB, yang terletak di No.7 Jalan Jejaka, Taman Maluri, Cheras Kuala Lumpur (bersebelahan Pusat Penjaja DBKL)  pada 24 Mac ini (Khamis) pukul 2.00 petang.

Kolej baru YPC-iTWEB yang dibina di atas kawasan seluas kira-kira satu ekar dengan menelan belanja sebanyak RM30 juta siap sepenuhnya awal tahun ini.

Kolej baru yang mempunyai empat tingkat itu pada awal penubuhannya pada tahun 2001 hanya menumpang di sebuah bangunan kedai.

Majlis pecah tanah pembinaan tapak kolej baru tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin.

Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee yakin dengan pembukaan kolej baru itu akan meningkatkan lagi penyertaan para pelajar khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berharap dengan adanya kolej baru YPC-iTWEB, ianya memberi peluang kepada kolej ini untuk dinaikkan taraf kepada taraf universiti dengan menawarkan pengajian di peringkat ijazah dan Sarjana Muda.

“Kolej baru YPC-iTWEB ini adalah mercu tanda perjuangan kita untuk membangunkan ilmu pendidikan dengan mansasarkan para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah supaya mereka menjadi warganegara berilmu yang berguna untuk masa depan negara,” katanya.








Monday, February 14, 2011

Pelajar Islam jangan terikut budaya barat sambut Hari Kekasih – Syed Ali


"Hari Kekasih bukan budaya Islam"
PENGERUSI Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengingatkan para pelajar Islam supaya tidak terikut-ikut dengan budaya barat dalam menyabut Hari Kekasih, hari ini. (14 Februari) 
  
Katanya, sambutan hari tersebut yang menjadi amalan kepada masyarakat barat dilihat terdorong kepada pelbagai bentuk kegiatan maksiat dan amat tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini terutama para pelajar sekolah.

“Kepada pelajar Islam daripada sekolah-sekolah angkat YPC, saya minta kepada mereka supaya tidak menyambut Hari Kekasih, esok kerana acara tersebut dikhuatri boleh melemahkan akidah mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya turut memberi perhatian dalam hal tersebut kerana sambutan Hari Kekasih tidak bersesuaian dengan tahap umur pelajar yang masih berada di bangku sekolah.

Lagi pun jelas beliau, sambutan itu turut ditegah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana ianya bukan amalan Islam dan banyak terdorong kepada perbuatan tidak bermoral.

Syed Ali berkata, Hari Kekasih yang diraikan di seluruh dunia terutama oleh masyarakat barat dilihat tidak mempuntyai sebarang manfaat kepada remaja Islam di negara ini.

“Tidak ada yang istimewanya, anggaplah 14 haribulan Februari itu sebagai tarikh biasa, sebaliknya pelajar harus meraikan sumbangan guru dan ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan para pelajar naungan YPC menetapkan tarikh yang sesuai selain Hari Guru bagi mengenang dan menghargai sumbangan guru mereka selama ini.
 
Dalam hal ini, beliau mahu para pelajar di sekolah-sekolah angkat YPC supaya terus meningkatkan prestasi dan kualiti  pembelajaran mereka sebagai persedian menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Beliau memberitahu, YPC juga sentiasa melakukan pemantauan terhadap sekolah-sekolah angkat dengan kerjasama warga pendidik dan pengetua bagi memastikan sekolah-sekolah tersebut mendapat pelbagai kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

“YPC sentiasa prihatin terhadap sekolah-sekolah angkat seperti dalam penyediaan makmal klomputer, tempat riadah, padang permainan dan aktiviti ko-kurikulum,” ujarnya.