Thursday, March 17, 2011

Wujudkan program Pendidikan Khas di setiap sekolah – Isteri TPM

ISTERI Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mencadangkan program pendidikan khas diwujudkan di setiap sekolah rendah dan menengah sebagai perancangan strategik bagi membantu golongan istimewa.

Katanya, langkah itu wajar bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa menghantarnya ke sekolah yang terdekat dengan rumah mereka.

Beliau berkata, langkah mewujudkan program pendidikan khas ini adalah selaras dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia ; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dengan golongan istimewa tidak pernah disisihkan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Jalinan Kasih Bersama Anak-Anak Istimewa, anjuran bersama Berjaya Corporatian Berhad  dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di Theme Park Berjaya Time Square, Kuala Lumpur, 8 Mac lalu.

Hadir sama di majlis itu ialah Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman dan Pengarah Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Tan U-Ming.

Menurut Puan Noorainee lagi, semua pihak harus mengambil berat dan prihatin terhadap golongan istimewa kerana mereka juga berhak mendapat menikmati kehidupan yang selesa dan normal, sama seperti golongan lain.

Sebelum itu, dalam ucapannya Syed Ali menjelaskan program anjuran bersama  Kumpulan Berjaya  dan YPC membuktikan bahawa badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) tidak pernah menyisihkan golongan istimewa.

“Pembabitan pelbagai pihak dalam membantu golongan istimewa merupakan sebahagian daruipada kerja amal syarikat dan akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.

Seramai 400 pelajar yang mewajkili 9 buah sekolah angkat YPC dan satu sekolah yang diundang khas iaitu SMK St. John Kuala Lumpur terbabit dalam majlis yang julung-julung kali diadakan itu.

Daripada 400 pelajar itu pula, seramai 160 pelajar istimewa yang mewakili empat buah sekolah, iaitu SMK Yaakob Latif, SK Yaakob Latif 1, SK Pendidikan Khas Jalan Peel dan SK Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Jalan Batu.




No comments:

Post a Comment