Sunday, May 15, 2011

Bersempena Hari Guru ; YPC raikan 36 sekolah angkat


PENGERUSI Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mahu para guru mengekalkan pekerti mulia, menyanjung aspirasi negara dan berfikiran lebih progresif dan saintifik dalam usaha melahirkan generasi berilmu.

Menurutnya, guru-guru bukan sahaja mempunyai peranan sebagai  pendidik tetapi bertanggungjawab membentuk akhlak dan jatidiri anak bangsa.

Sehubungan itu tegas beliau, YPC melahirkan keyakinan dengan kewibawaan para guru untuk membangunkan negara selaras dengan pelan transformasi kerajaan.

Dalam perutusan sempena Hari Guru esok (16 Mei) kepada 36 buah sekolah-sekolah angkat YPC, Syed Ali berkata, sumbangan dan segala pengorbanan warga pendidik sentiasa dikenang dan menjadi sanjungan seluruh anggota masyarakat.

"Profesion perguruan adalah kerjaya mulia untuk melahirkan generasi pelajar berilmu dan berguna untuk masa depan negara," tegasnya.

Selain itu, beliau turut menggesa para guru mengamalkan amalan membaca sebagai budaya hidup dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka menguasai maklumat semasa.

"Dengan cara ini, ia mampu meningkatkan  lagi pengetahuan semasa guru-guru selaras dengan tuntutan era globalisasi," katanya.

Bersempena Hari Guru, Syed Ali memberitahu YPC menyumbangkan 'kek hari guru' kepada 36 buah sekolah angkat disamping wang tunai sebanyak RM500 hingga RM1000 berdasarkan jumlah guru di sekolah berkenaan.

Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan aktiviti tahunan YPC bersempena Hari Guru sebagai tanda menghargai  didikasi dan pengorbanan warga pendidik.