Thursday, February 16, 2012

Tim. Menteri Pelajaran rasmi seminar motivasi pelajar sekolah angkat YPC

PERJUANGAN dalam dunian pendidikan merupakan satu keutamaan bagi melahirkan generasi berilmu untuk masa depan negara, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr .  Haji Mohd. Puad Zarklashi.
Oleh itu katanya, pelajar-pelajar perlu memberikan perhatian sepenuhnya dalam pembelajaran termasuk kegiatan ko-kurikulum bagi menjamin masa depan mereka.
Beliau turut mengingatkan, kejayaan cemerlang dalam pelajaran yang diperolehi oleh para pelajar merupakan hadiah yang tidak ternilai untuk ibu bapa mereka.
“Ibu bapa sebenarnya amat berasa kecewa jika anak mereka gagal atau kurang cemerlang dalanm peperiksaan, tetapi kekecewaan itu mereka pendam di dalam hati,” ujarnya.
Oleh itu katanya, para pelajar harus menanam keyakinan di dalam diri untuk mencipta kejayaan cemerlang sebagai hadiah yang tidak ternilai kepada ibu bapa mereka.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Seminar Motivasi Pengurusan Pembelajaran Strategik Pelajar Tingkatan 5, anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Utusan Malaysia, di Kolej YPC, Taman Maluri, Cheras pagi ini.



Seramai 250 pelajar terpilih daripada 12 buah sekolah angkat YPC menghadiri seminar tersebut yang merupakan program kali ketiga dianjurkan oleh YPC.
Turun hadir di majluis tersebut Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Dr. Noel Robert, Timbalan Pengarah Pelajaran, PPD Pudu dan Bangsar, Tuan Haji Ismail Musa dan Panel Motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain.
Menurut Dr. Mohd. Puad lagi, program yang dilakukan oleh YPC merupakan usaha murni bagi membantu pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran terutama bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM.
“Ini merupakan program motivasi yang memberi banyak manfaat kepada para pelajar termasuk warga pendidik,” ujarnya.
Sebelum itu, Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan sasaran program pada kali ini ialah melibatkan para pelajar berprestasi sederhana yang bakal menduduki peperiksaaan SPM 2012.



Katanya, usaha ini dilakukan bagi membantu para pelajar membina keyakinan diri supaya mampu meningkatkan prestasi dalam pembelajaran.
“Seminar ini antara lain membantu para pelajar menguasai teknik kemahiran belajar, menguasai teknik memori, kemahiran pengursuan masa dan membina keyakinan diri,” katanya.


Syed Ali juga mengingatkan para pelajar supaya menjadikan ‘7 Amalan’ sebagai  panduan untuk mereka berjaya; iaitu sentiasa awal, menjaga hubungan baik dengan guru, sentiasa berpakaian kemas dan sopan, sanggup berubah, sentiasa memperbaiki diri dan pencapaian, cekal dan rajin serta sentiasa bermotivasi.