Wednesday, August 17, 2011

MAJLIS SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI 2011 YAYASAN PENDIDIKAN CHERAS (YPC) 12 OGOS 2011

  

YAYASAN PENDIDIKAN CHERAS (YPC) sekali lagi berjaya melaksanakan kerja amalnya menerusi sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri 2011 kepada pelajar-pelajar sekolah angkatnya.

   Usaha ini telah dimulakan sejak 2009 bertujuan membantu pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan bersempena kedatangan 1 Syawal.

   Seramai 529 pelajar daripada 36 buah sekolah angkat YPC yang terdiri daripada anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak istimewa dan golongan kurang berkemampuan akan menerima sumbangan yang akan disampaikan oleh isteri Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berbahagia Puan Sri Noorainee Binti Abdul Rahman.


Salah seorang pelajar OKU yang menerima sumbangan

   Setiap seorang daripada mereka menerima beras 5kg, sepasang kain disamping wang tunai sebanyak RM100 dan baucar bernilai RM20 daripada Jaya Jusco.



   Sumbangan yang menjadi tradisi tahunan sejak tiga tahun lalu merupakan kerja amal YPC membantu mereka yang kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Pengetua, Guru Besar dan Guru Pengiring bergambar bersama
YAB Puan Sri Noorainee Binti Abdul Rahman

Wednesday, July 27, 2011

400 PELAJAR SEKOLAH PARLIMEN CHERAS TERIMA KOMPUTER RIBA 1 MALAYSIA

   Selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara bagi mencapai sasaran penembusan jalur lebar pada kadar 50% menjelang akhir 2010 dan 75% menjelang akhir 2015, maka Parlimen Cheras telah diberi peruntukan sebanyak 400 unit komputer riba 1 Malaysia untuk diagihkan kepada para pelajar yang layak.

   Majlis Penyerahan Komputer Riba 1 Malaysia Parlimen Cheras telah disempurnakan oleh Datuk Wira Syed Ali Alhabshee , Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras merangkap Ketua UMNO Bahagian Cheras pada 28hb Julai 2011 jam 10.00 pagi di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras yang melibatkan 9 buah sekolah iaitu SMK Puterijaya, SMK Miharja, SMK Seri Mutiara, SMK Seri Bintang Utara, SMK Convent Jalan Peel, SMK (P) Pudu, SMK Dato' Onn, SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Yaakob Latif.

    Para pelajar yang layak telah dikenalpasti oleh sekolah masing-masing dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan dan Pejabat Pendidikan Daerah Pudu, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya ialah pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah dan ketiadaan langganan jalur lebar di rumah.

    Semasa berucap di majlis tersebut, Syed Ali Alhabshee menyeru kepada pelajar supaya tidak menyalahgunakan komputer riba khususnya dalam proses penerimaan maklumat ataupun penyebaran maklumat menerusi internet. Para pelajar harus pandai menilai baik dan buruk sesuatu maklumat dan ibu bapa juga perlu memantau penggunaan komputer riba dan internet, ujarnya lagi.

    Turut hadir dalam majlis yang dihadiri oleh 900 orang tetamu itu ialah Pengarah Wilayah Tengah SKMM, Encik Mohd Fadhullah Mohd Noor.