Tuesday, June 21, 2011

Pelajar IPTS diingatkan jangan libatkan diri dengan perhimpunan Bersih

PELAJAR Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS)  khususnya diingatkan tidak menyertai perhimpunan haram anjuran Bersih 2.0  di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Ketika membuat peringatan tersebut, Pengerusi Kolej Teknologi YPC–iTWeb, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menegaskan, penyertaan mereka bukan sahaja membuang masa malah bertentangan dengan undang-undang.

“Kita khuatir mereka yang menyertai perhimpunan tersebut akan berdepan dengan tindakan pihak berkuasa dan menyusahkan keluarga mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penyebaran secara meluas risalah dan poster serta menerusi laman-laman web parti pembangkang yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan Bersih.

Katanya, perhimpunan Bersih adalah anjuran parti pembangkang yang cuba mencetuskan suasana tidak tenteram dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

Beliau berkata, para pelajar di IPTA dan IPTS mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap pembelajaran mereka dan tidak wajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan politik golongan pelampau.

“Mereka sewajarnya memberi sepenuh perhatian terhadap bidang pengajian masing-masing tanpa mencampur adukkan dengan politik,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau yakin pelajar IPTA dan IPTS di negara ini  bijak untuk membuat pertimbangan yang rasional demi masa depan mereka.

Majlis Konvokesyen 26 Jun

Syed Ali turut memberitahu seramai 116 orang pelajar Kolej Teknologi YPC-iTWEB akan menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen pada 26 Jun ini bermula jam 8.30 pagi di Dewan Utama kolej tersebut.

Pada majlis itu, empat orang graduan akan dianugerahkan ‘Best Student Award’ dan ‘Outstanding Student Award’.

Majlis konvokesyen tersebut akan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin.
  

No comments:

Post a Comment