YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Program Motivasi Awal Sesi Persekolahan 2014 kepada 400 orang murid sekolah -sekolah angkatnya untuk membimbing mereka supaya memahami kaedah pembelajaran secara lebih berfokus.
Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pihaknya menyediakan program yang dapat membantu murid lebih berfokus dan mempunyai sasaran dalam belajar supaya mereka akan lebih yakin serta berjaya dalam akademik.
Jika sasaran telah dibuat dari awal lagi, ini akan membolehkan seseorang murid itu lebih berfokus dalam pembelajaran mereka dan akan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan, katanya dalam satu kenyataan baru - baru ini.
Program anjuran Biro Latihan dan Pendidikan YPC dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu Kuala Lumpur(PPWBPKL)ini melibatkan kumpulan murid yang terpilih daripada 12 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari zon Pudu.
Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada murid tentang konsep menetapkan sasaran(goal setting) dalam pembelajaran kerana kajian rambang oleh pihak penganjur mendapati sebahagian besar daripada pelajar yang telah mengikuti beberapa program pendidikan anjuran YPC sebelum ini tidak begitu jelas atau kurang memahami konsep berkenaan.
Faktor ini menjadi halangan kepada murid sekolah - sekolah angkat YPC untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.
Melalui program ini, calon yang bakal menduduki peperiksaan awam dibimbing dengan pendekatan kaedah - kaedah pembelajaran secara berkesan (effective learning).
Menurut Penyelia Kanan Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar Pudu (PPWBP), Rosnani Md. Pungot, menetapkan sasaran adalah penting justeru murid perlu diberikan pendedahan dari awal sesi persekolahan.
Peserta program juga berpeluang untuk dibimbing bagi menentukan hala tuju mereka, merancang dan memahami kaedah belajar yang berkesan bagi mendapatkan hasil yang terbaik,tambahnya.
Selain itu, satu daripada perkara utama yang ditekankan dalam pengisisan program ini adalah pendekatan menuntut ilmu dari perspektif islam.
Ketua Unit Dakwah Jabatan Pelajaran Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNWPKL), Ustaz Zulkifly Ahmad menyifatkan program ini sebagai satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh.
Inilah sebenarnya bentuk transformasi yang kita ingin lihat berlaku di kalangan murid islam. Murid belajar bersungguh - sungguh kerana ingin berjaya dan pada masa yang sama mereka memahami bahawa menuntut ilmu adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama kita, jelasnya- Utusan 10 Februari 2014
No comments:
Post a Comment