Friday, August 21, 2015

TUTOR PENUHI KEPERLUAN AKADEMIK


SYED ALI AL-HABSHEE (tengah) menyampaikan cek replika tajaan Tutor kepada Azmy Mohamed sambil diperhatikan Rosita Abu Bakar selepas majlis pelancaran tajaan akhbar itu di Sk Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Penggunaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor memberi impak positif dalam pencapaian akademik murid terma­suk di sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) bermula sejak dua tahun lalu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Jalan Peel, Rosita Abu Bakar berkata, Tutor amat bermanfaat kepada guru dan murid serta mampu menjadi bahan rujukan terbaik kepada murid terutama menjelang minggu terakhir peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

“Banyak faedah menggunakan Tutor kerana akhbar pendidikan ini sarat dengan soalan latih tubi yang mengandungi elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan.

“Pendek kata, Tutor memenuhi keperluan murid dan guru cuma terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakannya dengan cara yang terbaik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan tajaan Tutor kepada 18 sekolah angkat YPC di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tajaan bernilai RM7,125 itu di­sampaikan oleh Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee kepada Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Azmy Mohamed.

Selama 10 minggu bermula edisi ke-26, Tutor tajaan YPC ini akan memberi manfaat kepada 1,425 calon UPSR di kawasan Parlimen Cheras.

Tutor merupakan instrumen soalan dalam konteks pentaksiran, yang itemnya dibangunkan mengikut format semasa dan terkini bagi setiap mata pelajaran.

Akhbar ini eksklusif untuk langganan sekolah pada harga 50 sen se­naskhah.

Selain SK Convent Jalan Peel, seko­lah lain yang menerima tajaan Tutor YPC ini ialah SK Seri Bintang Utara, SK Seri Bintang Selatan, SK Jalan Hang Tuah 1 dan 2, SK Perempuan Pudu 1 dan 2, SK Yaakob Latif 1 dan 2, SK Taman Segar, SK Taman Midah 1 dan 2, SK (Lelaki) Jalan Batu, SK Seri Cheras, SK Seri Mega, SK Jalan Pasar 1 dan 2.

Sementara itu, guru SK Seri Bintang Utara, Razdiah Bakar mengakui terdapat perubahan positif dalam pencapaian akademik sekolah ter­sebut berdasarkan keputus­an UPSR lalu.

“Penggunaan Tutor khususnya dalam kalangan murid tahun enam di sekolah amat baik dan memberi manfaat bukan sahaja kepada mereka malah lebih memudahkan guru kelas,” katanya

No comments:

Post a Comment