Tuesday, October 14, 2014

YPC ANJUR SEMINAR PT3 MANTAPKAN PERSEDIAAN SEKOLAH ANGKAT




Seramai 400 orang pelajar sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) mengikuti Seminar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk melengkapkan persediaan mereka menghadapi peperiksaan itu di Kolej YPC IT WEB, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, penganjuran seminar itu merupakan satu pendedahan positif kepada pelajar untuk mereka memahami perubahan yang berlaku dalam PT3 sekali gus meningkatkan persediaan untuk menghadapi peperiksaan tersebut.
"YPC sentiasa perihatin de­ngan setiap perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan dan berusaha melaksanakan beberapa sesi seminar kecemerlangan yang bertujuan membantu murid-murid di sekolah angkat demi me­ningkatkan prestasi, kejayaan serta pencapaian mereka," katanya.
Empat guru cemerlang mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bertindak sebagai penceramah untuk membimbing pelajar terbabit.
PT3 yang merangkumi soalan berformat kemahiran berfikir aras tinggi mula dilaksanakan pada tahun ini bagi menggantikan pe­periksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Peperiksaan baharu PT3 ini dilihat mampu mencabar daya kreativiti pelajar kerana memerlukan mereka berfikir lebih positif .- Sumber daripada Utusan Malaysia

Tuesday, August 19, 2014

PROFESION GURU IBADAH TERTINGGI




Kerjaya guru bukan sahaja dite­rima sebagai ibadah tetapi lebih merupakan satu ibadah tertinggi daripada ibadah fardu kifayah yang lain, dan akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah, kata Habib Ali Zaenal Abidin.

Menurut pendakwah itu, segala usaha titik peluh dan pengorbanan guru akan memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain, le­bih daripada untuk dirinya sendiri.

"Semua ilmu yang diperoleh akan dapat diperluas penyebaran dan penggunaannya bukan sahaja untuk tujuan ibadah fardu ain seper­ti solat, zakat dan sebagainya tetapi merangkumi ibadah fardu kifayah termasuk bidang kerjaya, antaranya perniagaan, kedoktoran, ekonomi dan politik," katanya.

Beliau berkata demikian dihadapan 300 pengetua, guru besar dan guru dari sekolah-sekolah Zon Bangsar dan Pudu Kuala Lumpur yang menghadiri ceramah anjuran Biro Pendidikan, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Kuala lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee menegaskan, yayasan tidak hanya memberikan fokus kepada program akademik sahaja, dan ceramah agama ini merupakan satu pendekatan bersepadu yang dapat memberikan manfaat kepada guru.

“Profesyen Guru Sebagai Satu Ibadah sangat releven dengan sambutan Hari Guru tahun ini kerana dapat membentuk satu kefahaman dan kesepakatan di kalangan guru Islam untuk me­laksanakan tugas harian mereka dengan lebih yakin, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur," ujarnya.

Objektif atau matlamat program ini adalah merupakan sokongan yang sangat padu oleh YPC kepada program sambutan hari guru zon Pudu dan Bangsar. Selain itu, juga untuk menerapkan dan memantapkan pengetahuan agama pada kalangan guru-guru dan juga mewujudkan suatu keinsafan dan ketakwaan terhadap kebesaran Allah SWT.