Kerjaya guru bukan sahaja diterima sebagai ibadah tetapi lebih merupakan satu ibadah tertinggi daripada ibadah fardu kifayah yang lain, dan akan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah, kata Habib Ali Zaenal Abidin.
Menurut pendakwah itu, segala usaha titik peluh dan pengorbanan guru akan memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain, lebih daripada untuk dirinya sendiri.
"Semua ilmu yang diperoleh akan dapat diperluas penyebaran dan penggunaannya bukan sahaja untuk tujuan ibadah fardu ain seperti solat, zakat dan sebagainya tetapi merangkumi ibadah fardu kifayah termasuk bidang kerjaya, antaranya perniagaan, kedoktoran, ekonomi dan politik," katanya.
Beliau berkata demikian dihadapan 300 pengetua, guru besar dan guru dari sekolah-sekolah Zon Bangsar dan Pudu Kuala Lumpur yang menghadiri ceramah anjuran Biro Pendidikan, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Kuala lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee menegaskan, yayasan tidak hanya memberikan fokus kepada program akademik sahaja, dan ceramah agama ini merupakan satu pendekatan bersepadu yang dapat memberikan manfaat kepada guru.
Profesyen Guru Sebagai Satu Ibadah sangat releven dengan sambutan Hari Guru tahun ini kerana dapat membentuk satu kefahaman dan kesepakatan di kalangan guru Islam untuk melaksanakan tugas harian mereka dengan lebih yakin, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur," ujarnya.
Objektif atau matlamat program ini adalah merupakan sokongan yang sangat padu oleh YPC kepada program sambutan hari guru zon Pudu dan Bangsar. Selain itu, juga untuk menerapkan dan memantapkan pengetahuan agama pada kalangan guru-guru dan juga mewujudkan suatu keinsafan dan ketakwaan terhadap kebesaran Allah SWT.
No comments:
Post a Comment