YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) menyambut baik langkah kerajaan meneruskan penggunaan Interlok sebagai novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam subjek bahasa Malaysia bagi pelajar tingkatan lima .
Pengerusinya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan ketegasan itu membuktikan kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
“Walaupun beberapa pindaan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif oleh segelintir masyarakat India , keputusan itu bermakna kerajaan menerima teguran dan pandangan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengingatkan tuntutan segelintir masyarakat India yang sebelum ini dikatakan membakar novel berkenaan bukan satu kemenangan yang perlu dipolitikkan.
“Isu Interlok sudah selesai, tidak timbul mereka (masyarakat India ) menang dalam tuntutan tersebut, tetapi lebih merupakan satu pengajaran dan teladan untuk masa akan datang,” ujarnya.
Dengan keputusan itu, beliau berharap segelintir masyarakat India tidak lagi menjadikan Interlok sebagai bahan polemik untuk kepentingan politik.
Katanya, Interlok adalah titipan sejarah dan rakaman peristiwa tanahair dan diharapkan akan memberi banyak manfaat kepada para pelajar di negara ini.
Syed Ali bagaimanapun tidak menolak kemungkinan penulis Interlok, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein masih ‘terluka’ dengan sikap biadap pihak tertentu yang membakar gambar beliau dan novel tersebut.
“Dalam apa jua keadaan pun, kita seharusnya bersimpati dengan nasib yang diterima oleh seorang Sastrawan Negara dan berharap beliau menerima keputusan kerajaan itu dengan berlapang dada,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan memutuskan Interlok akan tetap diteruskan sebagai novel pelajar tingkatan lima dengan dilakukan perubahan pada bahagian sensitif kepada masyarakat India.
Keputusan itu hasil perbincangan Muhyiddin dengan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel dan timbalannya, Datuk S. Subramaniam, petang semalam.
No comments:
Post a Comment