Monday, January 24, 2011

YPC sambut baik cadangan bina Sekolah Berasrama Penuh Felda

CADANGAN Kementerian Pelajaran menubuhkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Felda di kawasan tanah-tanah rancangan di negara ini dilihat sebagai wajar untuk meningkatkan pembangunan ilmu pendidikan terutama di kawasan luar bandar.

Pengerusi Yayayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, cadangan tersebut juga jika dilaksanakan kelak mampu menampung masalah penempatan pelajar terutama di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Beliau berkata, peratusan pelajar cemerlang seperti dalam peperiksaan UPS dan PMR yang meningkat setiap tahun menyaksikan pertambahan bilangan pelajar yang berpotensi.

“Pelajar cemerlang terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, cadangan kementerian untuk menubuhkan SBP di kawasan Felda secara tidak langsung akan meningkatkan lagi taraf hidup peneroka terutama generasi kedua.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Labis semalam bahawa kementeriannya akan menubuhkan SBP dengan kerjasama Felda.

Dr. Mohd. Puad menjelaskan penubuhan SBP itu perlu bagi menampung pertambahan jumlah pelajar malah akan dilihat bakal memberi faedah khususnya kepada anak-anak peneroka.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Syed Ali berkata terserah kepada pihak Felda untuk mengakji samada ianya perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya melihat keperluan dan kepentingan para pelajar terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan keutamaan sejajar dengan pembangunan negara,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment