Monday, January 24, 2011

TANGANI SEGERA ISU SOSIAL - ROSMAH


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Masyarakat diingatkan agar bertindak segera menangani gejala sosial yang mendukacitakan dewasa ini kerana ia akan merosakkan imej negara dan rakyat yang selama ini dianggap amat prihatin, pemurah dan penyayang.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ini kerana gejala sosial yang meruncing boleh memberikan isyarat yang tidak tepat mengenai negara. Katanya, ia juga boleh mencerminkan sikap tidak peka masyarakat khususnya dalam menangani isu-isu seperti penderaan kanak-kanak, memperkosa kanak-kanak, pembunuhan kejam, mempergunakan wanita bagi tujuan penyeludupan dadah dan pembuangan bayi.


Justeru beliau meminta supaya masyarakat terutama ibu bapa dan penjaga meningkatkan pemantauan dan kawalan ke atas segala kegiatan anak-anak remaja mereka. "Sebagai seorang ibu, apa yang amat memilukan saya ialah berkenaan pembuangan bayi yang tidak berdosa yang semakin berleluasa. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam tekun menjalani ibadah puasa serta mengejar ganjaran pahala berganda di bulan Ramadan ini.

"Kejadian ini jelas menunjukkan sikap tidak bertamadun sesetengah golongan masyarakat kita yang zalim sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk dan hina tersebut. "Mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini, ibu bapa hendaklah memberi penekanan akan aspek keagamaan kepada anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang bakal menjurus ke arah gejala yang semakin menular sejak akhir-akhir ini," katanya.




 Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri 2010 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di sini hari ini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Pada majlis tersebut seramai 444 pelajar termasuk 85 pelajar bukan Islam daripada 36 sekolah angkat YPC yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin serta anak yatim menerima sumbangan. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang dan beg cenderamata mengandungi sejadah, kain dan biskut raya.


 Rosmah berkata, ibu bapa dan penjaga juga perlu mendedahkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai kerohanian serta kesedaran moral yang dituntut oleh agama. Ini kata beliau, mampu membantu untuk membimbing anak-anak remaja daripada terjerumus ke kancah gejala sosial yang semakin meruncing ketika ini.

Sementara itu Syed Ali berkata, selain menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, yayasan tersebut turut melaksanakan program dan aktiviti motivasi dan kecemerlangan untuk pelajar di sekolah-sekolah angkat.

No comments:

Post a Comment