Sunday, January 23, 2011

TPM RASMI MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE–10 YPC

 

Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) meraikan majlis sambutan ulang tahun yang ke-10 penubuhannya, 21 Julai 2010 (Rabu) pada pukul 8 malam bertempat di Aras 3, Grand Ball Room, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan perasmiannya oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Hadir sama isteri beliau, Yang Berbahagia Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Seramai kira-kira 1500 orang tetamu jemputan termasuk para pelajar dan guru serta warga pendidik yang mewakili 36 buah sekolah-sekolah angkat YPC yang hadir di majlis tersebut.

 Turut hadir pegawai-pegawai pelbagai agensi kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat, mantan pengetua dan guru-guru besar sekolah angkat YPC,Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Cheras dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan.

Bersempena dengan majlis tersebut, Tan Sri Muhyiddin telah menyampaikan Anugerah Guru Bestari 2010 kepada 36 guru-guru yang terpilih dan mereka bakal menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM500.00, sebuah komputer riba, telefon bimbit, sijil serta hadiah iringan.


Anugerah Guru Bestari telah dimulakan sejak tahun 2001 yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merupakan pengikirafan berprestij YPC terhadap sumbangan, pengorbanan dan kegigihan warga pendidik dalam usaha membentuk generasi pelajar berilmu dan berwawasan.


Selain Anugerah Guru Bestari, pada malam itu juga buat julung-julung kalinya YPC memperkenalkan Anugerah Kepimpinan Mahasiswa.

Seramai 12 orang mahasiswa akan menerima sumbangan wang tunai RM1,000.00, sijil dan hadiah iringan setiap seorang.


YPC juga turut memperkenalkan Anugerah Khas Kecemerlangan Mahasiswa kepada seorang penerima yang menerima sumbangan RM1,000.00, sijil dan hadiah iringan.

Buat pertama kalinya juga YPC turut mengadakan Anugerah Kepimpinan Dinamik yang membabitkan dua orang guru yang mewakili dua buah sekolah rendah dan menengah. Mereka juga menerima hadiah wang tunai, sijil dan hadiah iringan.

No comments:

Post a Comment