Thursday, March 24, 2011

Muhyiddin ingatkan IPTS jangan hanya kaut untung

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tidak menjadikan gedung yang hanya mengaut keuntungan tanpa melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Beliau berkata, IPTS sepatutnya menjadi kilang melahirkan tenaga profesional berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang sejajar dengan keperluan negara.

“Langkah ini selaras dengan tuntutan Model Baru Ekonomi di samping berusaha membentuk generasi berilmu yang bertanggungjawab, berintegriti dan berketerampilan,” katanya ketika berucap merasmikan kampus baru Kolej Teknologi YPC-iTWEB di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Penaung Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Kolej Teknologi YPC-iTWEB, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, datuk Sri Ahmad Fuad Ismail.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan biasiswa YPC-Utusan kepada 31 penuntut pelbagai kaum kolej tersebut yang mengikuti pengajian di peringkat sijil dan diploma.

Pelajar kolej YPC-iTWEB menyambut ketibaan
Muhyiddin yang diiringi Syed Ali Alhabshee
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, kerajaan sentiasa memberi perhatian dan memantau perkembangan IPTS bagi memastikan subjek pengajiannya menepati standard yang ditetapkan.

Katanya, ia bagi memastikan IPTS menawarkan kursus yang bersesuaian dengan prospek kerjaya serta memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“IPTS juga diharap dapat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam bagi melonjakkan tahap ilmu agar negara dapat menikmati faedah hasil sumbangan golongan cendekiawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment