Thursday, April 28, 2011

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG SPM 2010 - YPC

Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2010 pada 26 April 2011 (Selasa) jam 11.00 pagi bertempat di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur.


Ini adalah kali kesepuluh berturut-turut majlis ini diadakan (sejak 2001) bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek dan untuk dijadikan contoh atau ‘role model’ kepada pelajar-pelajar lain supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan ialah Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Turut hadir ialah Pengerusi YPC, Y.Bhg. Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

 Y.Bhg. Dato' Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia


Seramai 100 pelajar di bawah naungan Sekolah Angkat YPC telah mencapai keputusan semua ‘A’ dalam SPM 2010 berbanding 79 pelajar yang memcapai semua ‘A’ dalam SPM 2008 dan 87 pelajar mencapai semua ‘A’ dalam SPM 2009. Pelajar cemerlang SPM 2010 menerima wang tunai RM 300.00, sijil penghargaan, buku motivasi, sekeping sim kad Maxis, satu tiket masuk percuma ke Theme Park Berjaya Times Square dan voucher makan Restoran Steamboat Jom Priok.








 Empat (4) sekolah yang bernaung di bawah YPC terpilih untuk menerima anugerah cemerlang berdasarkan jumlah peratus pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek seperti berikut :-



KATEGORI SEKOLAH KAWALAN

TEMPAT PERTAMA –  SMK SERI BINTANG UTARA
                             16.83% (34 pelajar)
                             (Hadiah RM 1,000.00 dan sijil penghargaan)

TEMPAT KEDUA -      SMK SERI BINTANG SELATAN
                             9.82% (22 pelajar)
                             (Hadiah RM 750.00 dan sijil penghargaan)

KATEGORI SEKOLAH BUKAN KAWALAN

TEMPAT PERTAMA -   SMK CONVENT JALAN PEEL
                             5.64% (11 pelajar)
                             (Hadiah Rm 1,000.00dan sijil penghargaan)

TEMPAT KEDUA -       SMK (P) PUDU
                              5.02% (12 pelajar)
                              (Hadiah RM 750.00 dan sijil penghargaan)


 Tempat pertama Kategori Sekolah Kawalan

 Penerima bergambar bersama KPPM

Monday, April 18, 2011

KP Pelajaran Malaysia sampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2010 anjuran YPC

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) akan mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2010 pada 26 April ini (Selasa) bertempat di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Abd. Ghafar Mahmud.

Seramai 130 pelajar akan menerima anugerah tersebut, yang membabitkan 100 pelajar yang mencapai keputusan semua A dalam semua mata pelajaran dan 30 pelajar bumiputera yang mendapat semua A dan 1B akan menerima Anugerah Khas.

Menurut Pengerusi YPC, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, anugerah tersebut merupakan anugerah tahunan yang diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan cemerlang para pelajar sekolah-sekolah angkat YPC pada peperiksaan SPM 2010.

Katanya, mereka akan menerima sijil penghargaan dan bantuan skim intensif berupa wang tunai.

“YPC pada setiap tahun akan menghargai kejayaan pelajar yang cemerlang dalam setiap kali peperiksaan. Ini merupakan tanggungjawab YPC untuk merangsang pencapaian terbaik pelajar dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berharap penganugerahan tersebut akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut pada tahun ini.

Sunday, April 3, 2011

MAJLIS PERASMIAN KAMPUS BARU KOLEJ TEKNOLOGI YPC IT-WEB


Usaha gigih Yayasan Pendidikan Cheras atau YPC untuk memperkasa pendidikan anak bangsa, berada di atas landasan yang betul dan ada proses kesinambungan. 10 tahun yang lalu, YPC telah dilancarkan di Stadium Badminton Kuala Lumpur Cheras oleh pemimpin terbilang Negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 23 Ogos 2001 ( ketika itu Tun sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke empat).

Bangunan Kampus Kolej YPC IT-WEB yang baru

Masa begitu pantas berlalu. Hari ini YPC sudah menjangkau usia 10 tahun. Perasmian kampus baru Kolej Teknologi YPC iT-WEB atau ringkasnya Kolej YPC merupakan satu mercu tanda Yayasan Pendidikan Cheras, satu peristiwa penting lagi bersejarah, satu impian dan satu kebanggaan seluruh warga YPC serta tenaga penggerak kolej.

Perasmian Kampus Baru Kolej YPC

Majlis perasmian kampus baru Kolej YPC telah disempurnakan oleh Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2011 dalam suasana yang gilang-gemilang. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Y.B. Dato’ Seri Mohamed Khaled  Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi, Y.B. Senator Datuk Raja Nong Chik selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Penaung Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee selaku Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras dan Pengerusi Kolej YPC, Dr. Noel Robert selaku Ketua Eksekutif Kolej YPC, Ahli-ahli Lembaga YPC serta 600 orang tetamu jemputan.


Yayasan Pendidikan Cheras dan Kolej YPC, mempunyai matlamat yang selari dengan Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam melakukan transformasi khususnya dalam bidang pelajaran, dan meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pendidikan dan latihan.

Salah satu isu penting yang sering dibahaskan, dalam konteks masyarakat warga kota ialah berkenaan kemiskinan bandar. Isu, masalah dan cabaran kemiskinan bandar, berkait rapat dengan taraf pendidikan yang rendah. Peningkatan tahap dan taraf pendidikan, serta penguasaan ilmu adalah senjata utama untuk membasmi kemiskinan bandar.

Kemiskinan sesebuah keluarga di bandar, boleh di atasi, jika anak-anak mereka diberi peluang untuk berjaya dalam pendidikan dan mampu mengubah nasib keluarga untuk keluar daripada garis kemiskinan. Dalam konteks ini, Kolej YPC menyediakan kursus-kursus yang mempunyai nilai kebolehpasaran. Suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif. Inilah peluang pendidikan yang perlu direbut oleh pelajar dari golongan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Yuran pengajian dibiayai oleh PTPTN. Kos pendaftaran di Kolej YPC tidak membebankan pelajar. Kolej juga menawarkan Biasiswa Utusan-YPC serta lain-lain skim bantuan yang menarik.         

Para tetamu yang hadir
  
Buat masa ini Kolej YPC hanya boleh keluarkan sijil dan diploma sahaja. Untuk kursus Ijazah pula, Kolej YPC perlu mengadakan kerjasama dengan universiti luara negara dan Ijazah dikeluarkan oleh universiti luar negara. Program kerjasama dengan universiti luar negara menelan belanja yang amat tinggi. Ramai pelajar Kolej YPC terpaksa menamatkan pengajian di peringkat Diploma dan mencari peluang pekerjaan, walaupun sebenarnya mereka berminat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah.

Oleh sebab itu, selewat-lewatnya pada tahun 2015 Kolej YPC akan memohon untuk mendapatkan status ‘Kolej Universiti’ supaya Kolej YPC dapat mewujudkan program Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang ‘tersendiri’. Tambahan lagi, lebih banyak kursus akan ditawarkan dengan kos berpatutan dan mampu dibayar oleh pelajar. Juga selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai warga yang berilmu dan berpendidikan atau Malaysian “as knowledge workers”.

Bersama YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin