Thursday, January 27, 2011

Interlok : bukti kerajaan prihatin pandangan rakyat – Syed Ali

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC)  menyambut baik langkah kerajaan meneruskan penggunaan Interlok sebagai novel untuk komponen sastera (Komsas) dalam subjek bahasa Malaysia bagi pelajar tingkatan lima.

Pengerusinya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan ketegasan  itu membuktikan kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

“Walaupun beberapa pindaan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif oleh segelintir masyarakat India, keputusan itu bermakna kerajaan menerima teguran dan pandangan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan tuntutan segelintir masyarakat India yang sebelum ini dikatakan membakar novel berkenaan bukan satu kemenangan yang perlu dipolitikkan.

“Isu Interlok sudah selesai, tidak timbul mereka (masyarakat India) menang dalam tuntutan tersebut, tetapi lebih merupakan satu pengajaran dan teladan untuk masa akan datang,” ujarnya.

Dengan keputusan itu, beliau berharap segelintir masyarakat India tidak lagi menjadikan Interlok sebagai bahan polemik untuk kepentingan politik.

Katanya, Interlok adalah titipan sejarah dan rakaman peristiwa tanahair dan diharapkan akan memberi banyak manfaat kepada para pelajar di negara ini.

Syed Ali bagaimanapun tidak menolak kemungkinan penulis Interlok, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein masih ‘terluka’ dengan sikap biadap pihak tertentu yang membakar gambar beliau dan novel tersebut.

“Dalam apa jua keadaan pun, kita seharusnya bersimpati dengan nasib yang diterima oleh seorang Sastrawan Negara dan berharap beliau menerima keputusan kerajaan itu dengan berlapang dada,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan memutuskan Interlok akan tetap diteruskan sebagai novel pelajar tingkatan lima dengan dilakukan perubahan pada bahagian sensitif kepada masyarakat India.

Keputusan itu hasil perbincangan Muhyiddin dengan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel dan timbalannya, Datuk S. Subramaniam, petang semalam.

Monday, January 24, 2011

YPC sambut baik cadangan bina Sekolah Berasrama Penuh Felda

CADANGAN Kementerian Pelajaran menubuhkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Felda di kawasan tanah-tanah rancangan di negara ini dilihat sebagai wajar untuk meningkatkan pembangunan ilmu pendidikan terutama di kawasan luar bandar.

Pengerusi Yayayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, cadangan tersebut juga jika dilaksanakan kelak mampu menampung masalah penempatan pelajar terutama di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Beliau berkata, peratusan pelajar cemerlang seperti dalam peperiksaan UPS dan PMR yang meningkat setiap tahun menyaksikan pertambahan bilangan pelajar yang berpotensi.

“Pelajar cemerlang terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, cadangan kementerian untuk menubuhkan SBP di kawasan Felda secara tidak langsung akan meningkatkan lagi taraf hidup peneroka terutama generasi kedua.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi di Labis semalam bahawa kementeriannya akan menubuhkan SBP dengan kerjasama Felda.

Dr. Mohd. Puad menjelaskan penubuhan SBP itu perlu bagi menampung pertambahan jumlah pelajar malah akan dilihat bakal memberi faedah khususnya kepada anak-anak peneroka.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Syed Ali berkata terserah kepada pihak Felda untuk mengakji samada ianya perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya melihat keperluan dan kepentingan para pelajar terutama di kawasan luar bandar perlu diberikan keutamaan sejajar dengan pembangunan negara,” ujarnya.